Fanskick Aplikasi Khas Buat Peminat Bola Sepak Tempatan

Aplikasi mudah alih, Fanskick, berkaitan perlawanan bola sepak termasuk pembelian tiket bola, maklumat terkini statistik dan perlawanan, dilancarkan malam ini.


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.


Pelancaran aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma mulai tengah malam ini, itu mendapat pengiktirafan rasmi oleh FAM dan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP).


Ketua Pegawai Eksekutif Fanskick Dot Com Sdn Bhd, Farouk Mustaffa, berkata aplikasi itu menawarkan perkhidmatan secara atas talian itu turut menyediakan ruang interaksi dikenali Buddy System, permainan simulasi pengurusan bola sepak dikenali FK Manager dan siaran langsung perlawanan.


Katanya, aplikasi itu menawarkan pelbagai kemudahan yang mampu dinikmati khas buat peminat, pemain bola sepak tempatan dan pihak pengurusan menerusi telefon mudah alih, selain pihaknya menyasarkan lebih sejuta pengguna yang akan memuat turun sehingga penghujung tahun ini.


"Sebagai seorang peminat bola sepak yang tegar, saya inginkan lebih lagi daripada segi kemudahan yang sedia ada di industri ini.


"Menyedari banyak kekangan untuk mendapat kandungan yang berkualiti, maka lahirlah aplikasi Fanskick kerana saya faham apa yang diinginkan oleh seorang peminat dari jenis perkhidmatan dan hiburan yang relevan kini.


"Berpandukan keinginan ini, kami memperkenalkan pelbagai ciri untuk menjadikan Fanskick satu aplikasi lengkap yang sesuai bagi lelaki dan wanita berusia 12 tahun ke atas," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan di sini, malam tadi.


Farouk berkata, pihaknya ingin menawarkan sebuah ruang bagi menghubungkan peminat, pemain dan penggerak industri bola sepak tanah air seiring dengan visi Presiden FAM yang inginkan revolusi.


"Aplikasi Fanskick adalah pencetus kepada satu pembaharuan dalam industri sukan tanah air dan kami berbangga untuk menjadi yang pertama memperkenalkannya," katanya.


Aplikasi Fanskick boleh didapati di Google Play dan App Store, selain aplikasi percuma itu hanya mengenakan caj bayaran pada Buddy System bagi caj tahunan dan FK Manager pula caj dikenakan untuk sebarang pembelian tambahan.


Sempena pelancaran aplikasi itu, pengguna dapat menikmati perkhidmatan Buddy System untuk satu tahun secara percuma.


Comments

Popular posts from this blog

Shahrel Fikri Selamat Menikahi Gadis Pilhan Hati

Senarai Lengkap Pemain Kedah FA Musim 2019

10 ‘Port’ Baik Untuk Menonton Perlawanan Malaysia vs Vietnam