FMLLP Beri Lampu Hijau Buat Stadium Darul Makmur

Pahang akhirnya menghela nafas lega selepas mendapat kelulusan daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) beraksi pada waktu malam di Stadium Darul Makmur.


Meskipun pemeriksaan pertama yang dilakukan badan pengendali Liga Malaysia (Liga M) itu mendapati Stadium Darul Makmur ‘tidak terang’, namun FMLLP mengesahkan stadium berkenaan boleh digunakan selepas pemeriksaan kedua dijalankan, 12 Januari lalu.


“Semua pasukan sudah maklum dengan peraturan yang wujud mengenai lampu limpah dan pemeriksaan pertama yang dijalankan 16 Disember 2017 mendapati enam daripada 15 lokasi lampu limpah di stadium berkenaan tidak melepasi syarat 1200 lux yang sudah ditetapkan.


“Jadi, FMLLP mengeluarkan surat mengenai perkara ini kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) di mana pasukan perlu beraksi pada sebelah petang dan turut memaklumkan mereka boleh membuat pemeriksaan ulangan dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh sepak mula Liga M.

“Atas permohonan PBNP, FMLLP membuat pemeriksaan lampu limpah buat kali kedua Jumaat lalu dan keputusannya stadium berkenaan lulus untuk bermain pada sebelah malam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Dalam masa sama, FMLLP turut menegaskan mereka bertanggungjawab bagi memastikan perlawanan liga dapat dilangsungkan pada waktu malam supaya dapat mencapai tahap kehadiran yang tinggi sekali gus menambah nilai untuk pasukan dan liga.


“Pemeriksaan lampu limpah dilakukan bersama dengan wakil pihak stadium serta Pahang. Keputusan pemeriksaan ini bukan sesuatu yang boleh ditipu atau direka.


“Jadi, pihak FMLLP berharap tiada pihak menggunakan semua keputusan atau tindakan untuk kepentingan sendiri. Tidak mungkin pasukan akan dipaksa bermain pada sebelah petang semata-mata untuk dianiayai,” katanya.


Sebelum ini, FMLLP mengeluarkan jadual perlawanan membabitkan beberapa pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang dengan sepak mula jam 4.45 petang kerana venue mereka berdepan masalah lampu limpah.


Bagaimanapun, Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) mengambil langkah penyelesaian segera apabila memperuntukkan RM80,000 untuk menaik taraf tahap pencahayaan lampu limpah Stadium Darul Makmur sebagai usaha memastikan skuad Tok Gajah dapat beraksi pada waktu malam.


Comments

Popular posts from this blog

Shahrel Fikri Selamat Menikahi Gadis Pilhan Hati

Senarai Lengkap Pemain Kedah FA Musim 2019

10 ‘Port’ Baik Untuk Menonton Perlawanan Malaysia vs Vietnam