Peluang Malaysia Cipta Sejarah
Skuad muda negara berpeluang untuk melakar sejarah dalam arena bola sepak Malaysia sekiranya layak ke peringkat suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) di China.
Namun skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee perlu melepasi halangan pasukan pilihan, Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kunshan hari ini.
“Saya tidak mahu menyentuh pasal sejarah atau apa yang kita akan capai. Apa yang penting, beraksi dengan cemerlang seperti perlawanan terdahulu dan tidak meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.
“Pemain harus berusaha seperti mana mereka tunjukkan ketika menentang Jordan dan saya percaya dengan disiplin cukup tinggi ketika di atas padang, kita mampu layak ke peringkat lebih baik.
“Ini adalah peluang untuk semua pemain, bukan sahaja sejarah negara tetapi mencipta sejarah peribadi mereka sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum sesi latihan di Arena Pusat Aktiviti Masyarakat Kunshan, semalam.
Comments
Post a Comment