Melaka United Akan Tamatkan Kontrak Gomes
Pasukan Liga Super, Melaka United (MU) kini hampir pasti menamatkan khidmat pemain tengah import dari Portugal, Tiago Gomes.
Mengesahkan perkembangan itu, Pengurus MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata pemain import baharu dari Korea bagi menggantikan Gomes sudah dinilai oleh jurulatih E Elavarasan.
Katanya, MU tidak boleh menunggu terlalu lama bagi memilih pemain baharu selepas kedudukan pasukan kini berada di tangga ketiga terbawah liga.
"Penyenaraian pemain terbabit (Korea) diharap membentuk kekuatan baharu buat pasukan selepas prestasi kurang cemerlang Gomes walaupun sudah memberikan yang terbaik.
"Elavarasan juga sudah melakukan tranformasi terhadap pemain sedia ada dengan berjaya mengikat Perak 0-0 dan PKNS 1-1 namun tewas 0-1 kepada Terengganu, Sabtu lalu.
"Namun dalam kalangan pemain sedia ada, ia tidak menampakan impak besar yang boleh dibanggakan.
"Sehubungan itu, kita memerlukan pemain baharu untuk memperkasakan pasukan, walaupun sekadar menukar satu dua pemain," katanya tanpa menyatakan identiti pemain import Korea itu.
Sementara itu, Mohd Yusoff juga mengesahkan MU juga sedang meneliti keupayaan seorang penyerang baharu dari Nigeria untuk diserap ke dalam pasukan berkenaan.
Katanya, jika pemain terbabit didapati lebih baik, bermakna sentuhan penggempur import dari Belarus, Yahor Budocih bersama MU akan berakhir.
"Semuanya terpulang kepada Elavarasan menentukan kedudukan penyerang terbabit sama ada bakal mendapat tempat atau sebaliknya," katanya.
Mohd Yusoff berkata ketiadaan penyerang import berwibawa menyaksikan MU sukar melakukan banyak jaringan sekali gus gagal membawa pulangan mata.
Ketika ini MU berada di tangga ke-10 selepas mengumpul 11 mata, manakala Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing menduduki tangga ke-11 dan ke-12 dengan himpunan lapan mata.