Mereka Gembira Liverpool Gagal Mengangkat Trofi Liga Juara-Juara - Van Dijk
Virgil van Dijk melemparkan kritikan terhadap kelab-kelab di England dan penyokong mereka yang dilihat bergembira di atas kesengsaraan Liverpool gagal merangkul kejuaran Liga Juara-Juara.
Pertahanan tengah itu percaya segala kutukan yang dibuat terhadap The Reds adalah kerana mereka cemburu dan sebenarnya mahukan tempat beraksi di pentas final kejohanan tersebut.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kalah 3-1 kepada Real Madrid di Kiev dengan dua gol mudah dilepaskan oleh penjaga gol Liverpool, Loris Karius.
“Sudah tentu kami sepatutnya berbangga dengan diri sendiri. Semua kelab di England mahukan tempat kami sekarang. Mereka berlakon seperti mereka gembira namun saya fikir sudah tentu mereka cemburu.
“Kami berada di final, malangnya kami tewas dan saya fikir kami perlu mengambil pengajaran ini untuk musim depan dan pastikan kami melakukan lebih baik berbanding tahun ini,” kata Van Dijk.
Semestinya kejayaan melangkah ke final Liga Juara-Juara menjadi kenangan manis buat Van Dijk dan rakan-rakan apabila mereka menyingkirkan Porto, Manchester City dan Roma sebelum menempah tiket penerbangan ke Kiev. - AGENSI