Harimau Malaya Bakal Diuji Enam Pasukan
Enam pasukan akan menanti skuad Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A' pada Julai hingga November ini, sebelum mengharungi aksi Piala Suzuki AFF 2018 pada penghujung tahun.
Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjelaskan lima daripada pasukan itu sudah memberi pengesahan untuk menguji skuad kebangsaan.
Katanya, enam aksi persahabatan itu adalah seimbang dengan tiga daripadanya akan berlangsung di laman sendiri, sementara tiga lagi akan diadakan di gelanggang lawan.
"Tiga aksi di laman sendiri membabitkan Fiji pada 5 Julai di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Oktober. Satu lagi aksi di gelanggang sama pada 3 November dan pasukan lawan akan diumumkan nanti.
"Tiga lagi perlawanan di luar adalah bertemu Taiwan di Taipei (7 September), Kemboja di Phnom Penh (10 September) dan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelas Hamidin, enam aksi itu bakal menjadi pentas terbaik buat skuad negara memperbaiki kedudukan semasa Malaysia yang kini menghuni tangga ke-171 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Ia juga menjadi medan ujian buat Tan Cheng Hoe untuk mempersiapkan pasukannya menjelang Piala Suzuki AFF 2018 yang akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember 2018.
"Semoga dengan perancangan teliti yang sudah diatur ini dapat menghasilkan keputusan positif buat skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2018," katanya.
Pada temasya Piala Suzuki AFF 2018, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan juga Laos, dengan anak buah Cheng Hoe akan membuka kempen bertemu Kemboja pada 8 November.
Info: Ranking FIFA
Fiji (165)
Taiwan (123)
Kemboja (166)
Sri Lanka (200)
Republik Krygyz (92)