Jerman Nyaris Dimalukan Arab Saudi


Juara dunia Jerman berjaya mengekang kejutan lawan pada saat akhir dengan menewaskan Arab Saudi 2-1 awal pagi tadi dan meraih kemenangan pertama tahun ini selepas lima perlawanan sebagai persiapan ke Piala Dunia.


Iran, Croatia dan Switzerland turut mencatat kemenangan sementara Poland terikat 2-2 dengan Chile.


Jerman dilihat mampu menang selesa selepas cuba menangkis prestasi terburuk mereka sejak 30 tahun lalu apabila Timo Werner membuka jaringan dan gol Omar Hawsawi ke gawang sendiri menggandakan kelebihan mereka pada separuh masa pertama.


Namun Arab Saudi yang juga akan bertandang ke Russia segera bangkit dengan melakukan ancaman hasil serangan balas.



Mereka berjaya merapatkan jaringan apabila Taisir Al-Jassim meledak bola lantunan selepas penalti Mohammad Al-Sahlawi ditepis Marc-Andre ter Stegen lima minit sebelum tamat permainan.


Al-Sahlawi kemudiannya berpeluang mendapatkan sepakan penalti kedua ketika wisel penamat apabila dia dikasari Mats Hummels ketika Jerman bertahan untuk memastikan kemenangan.


Jurulatih Jerman Joachim Loew meluahkan kekecewaannya apabila setiap bola yang dibawa Ilkay Gundogan disambut dengan ejekan dalam dua perlawanan berturut-turut.


Peminat Jerman ternyata berang dengan gambar yang diambil pemain itu dengan presiden Turki Tayyip Erdogan bulan lalu dan menyatakan di dalam mesej sebagai 'presiden saya'.



"Dia anggota skuad kebangsaan dan perkara itu (ejekan) tidak akan membantu sesiapa," kata Loew yang kurang senang dengan tindakan mereka.


Jurulatih itu kemudiannya menyuarakan kekecewaan terhadap aksi pasukan berkenaan namun yakin mereka akan bersedia apabila berdepan Mexico dalam perlawanan pertama Piala Dunia pasukan itu Ahad depan.


"Hari ini kami terlepas banyak peluang, pertahanan kami terdedah dan membiarkan terlalu banyak serangan balas daripada Arab Saudi. Pada akhirnya kami bernasib baik kerana menang," katanya.


"Saya tidak bimbang kerana saya sedar kami akan terus perbaiki prestasi. Apabila semuanya bermula, kami akan bersedia. Minggu hadapan, kami akan lebih hebat, lebih dinamik dan bertenaga."- Reuters



Popular posts from this blog

Shahrel Fikri Selamat Menikahi Gadis Pilhan Hati

Senarai Lengkap Pemain Kedah FA Musim 2019

10 ‘Port’ Baik Untuk Menonton Perlawanan Malaysia vs Vietnam