Kedah Menang Tipis Ke Atas Kelantan
Kedah akhirnya bangkit daripada kekecewaan dengan menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Kemenangan ini berjaya melonjakkan semangat Kedah sekali gus melegakan ketua jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff selepas skuad Helang Merah gagal mendapatkan sebarang mata pada dua perlawanan lalu.
Kedah memulakan perlawanan dengan percubaan menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada minit kesembilan namun berjaya ditepis penjaga gawang Kelantan, Shahrizan Ismail.
Kelantan cuba bangkit dengan percubaan Lazarus Kaimbi pada minit ke-12 namun penjaga gol baharu Kedah, Ramadhan Hamid lebih bersedia dengan menepis bola keluar.
Akhyar Rashid mendapat peluang pada minit ke-21 dengan rembatan terus namun ditepis Shahrizan manakala cubaan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-34 juga diselamatkan penjaga gol itu.
Penghujung babak pertama Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan dengan gol penyerang sensasi, Paulo Rangel yang mudah menolak masuk hasil tandukan.
Kelantan cuba menyamakan kedudukan menerusi Nik Akif Syahiran pada minit ke-59 tetapi Ramadhan nyata sudah bersedia.
Kelantan turut menerima padah apabila pemainnya, Khairul Asyraf Ramli menerima kad merah pada minit ke-93 kerana mengasari Andik Vermansyah dan kedudukan kekal hingga penamat saingan.