Sultan Johor Taja Cardiff City RM15.97 Juta
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menaja sehingga £3 juta (kira-kira RM15.97 juta) dalam tempoh tiga tahun lepas sejak 2015 untuk mengekalkan logo 'Visit Malaysia' pada jersi pasukan bola sepak Cardiff City.
Pada sidang akhbar hari ini, pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan bahawa Sultan Johor itu adalah antara penaja logo berkenaan dengan berkata, "Tuanku tidak membantu Cardiff City FC, tetapi lebih kepada untuk mempromosi negara ini."
Cardiff City FC di bawah bimbingan pengurusnya, Neil Warnock, akan bersaing pada Liga Perdana England 2018/19 disamping Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool berikutan kenaikan statusnya daripada Liga Kejuaraan England.
Vincent juga menyuarakan harapan agar Menteri Pelancongan yang baharu akan menimbang "kerjasama" dengan kelab berkenaan untuk terus mempromosi industri pelancongan Malaysia.
"Kini, bintang Barcelona, Luis Suarez, menjadi duta bagi Tourism Malaysia. Apabila dia bermain bola sepak, dia tidak memberitahu orang bahawa dia adalah duta Tourism Malaysia, tetapi saya berpendapat anda tidak dapat mengalahkan duta 'Visit Malaysia' itu pada Liga Perdana Inggeris. - Bernama