Thanabalan Selamatkan Maruah Negeri Sembilan


Negeri Sembilan (NS) bangkit pada penghujung babak untuk seri 1-1 dengan Perak dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.


Sebelum ini, skuad bimbingan Mario Lemos tampil cemerlang dengan menewaskan Kelantan dan PKNS FC.


Perak berpeluang mendapatkan gol awal namun sepakan Leandro Dos Santos pada minit kelapan dikuis penjaga gol NS, Muhamad Ilham Amirulllah dan percubaan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-22 juga gagal melepasi penjaga gol muda itu.


Penguasaan bola dilihat memihak kepada Perak, namun mereka gagal memecah benteng pertahanan NS apabila sekadar dapat melakukan tiga percubaan tepat sepanjang babak pertama yang belum cukup menggugat Muhamad Ilham yang beraksi cemerlang.



Skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi melakar kemenangan keempat musim ini sesekali melakukan serangan balas pantas menerusi gandingan Angel Guirado dan Muhammad Fakhrul Aiman Sidid, bagaimanapun usaha mereka mudah dipatahkan benteng pelawat.


NS dilihat memperkemaskan jentera serangan sebaik bersambung babak kedua dalam usaha untuk mendapatkan gol dengan membawa masuk penyerang muda, N Thanabalan yang dilihat dapat mengubah sedikit corak persembahan pasukan itu.


Ketika tuan rumah berusaha keras melakukan asakan ke kubu lawan, kecemerlangan Muhamad Ilham akhirnya tidak bertahan lama apabila Da Silva meletakkan Perak di depan menerusi gol pertama pada minit ke-71.


Ketika Perak dilihat hampir memenangi perlawanan, Thanabalan muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan pada minit ke-90 dan kedudukan seri itu kekal sehingga ke wisel penamat.



Popular posts from this blog

Shahrel Fikri Selamat Menikahi Gadis Pilhan Hati

Senarai Lengkap Pemain Kedah FA Musim 2019

10 ‘Port’ Baik Untuk Menonton Perlawanan Malaysia vs Vietnam