Ini Antara Penyerang Yang Dijangka Menjadi Penjaring Terbanyak Liga Super 2019
Ada pepatah mengatakan, penyerang membantu memenangi perlawanan, pertahanan akan membantu memenangi kejuaraan. Tetapi, apalah guna tidak bolos jika tiada penyerang berbisa yang mampu menjaringkan gol. Musim lalu menyaksikan Rufino Segovia daripada Selangor menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan Kipre Tchetche (Terengganu), Guilherme De Paula (Kuala Lumpur) dan Yahor Zubovich (Melaka United) mengekor rapat. Musim ini mungkinkah kita akan melihat saingan yang lebih sengit? Ini antara penyerang yang kami rasakan akan bersaing untuk kasut emas Liga Super 2019.
19 gol pada musim lalu untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Super 2018 bersama Red Giants. Pastinya penyerang dari Sepanyol ini akan sekali lagi menjadi calon untuk memenangi kasut emas Liga Super 2019, ditambah pula dengan skuad yang lebih baik. Dengan bantuan daripada pemain seperti Wan Zack Haikal dan Faiz Nasir, tidak mustahil untuk Rufino menambah jumlah golnya pada musim ini.
Rufino Segovia (Selangor)
Guilherme De Paula (Kuala Lumpur)
Dua musim berturut dia menunjukkan bisanya di depan gol. Sebelum ini ramai menyangka De Paula akan bergelut untuk menjaringkan gol di Liga Super berbanding Liga Premier. Tetapi De Paula telah membuktikan sebaliknya. Penyerang Brazil itu menjaringkan 13 gol daripada 21 penampilan di Liga Super bersama City Boys. Sekali lagi gandingan De Paula dan Paulo Josue akan diharapkan membantu Kuala Lumpur musim ini. Namun, musim 2019, dia akan mempunyai pesaing yang juga rakan di bahagian serangan.
Sylvano Comvalius (Kuala Lumpur)
Penyerang Belanda ini akan membantu De Paula di bahagian serangan pada musim hadapan. Selepas menunggu daripada pertengahan musim lalu, Kuala Lumpur akhirnya berjaya membawa bekas penyerang Bali United ini ke Stadium Cheras. Penyerang berusia 31 tahun ini pernah menjaringkan 37 gol daripada 34 penampilan untuk Bali United dan Kuala Lumpur pasti mahu dia mengulangi pencapaian itu bersama mereka.
Kipre Tchetche (Terengganu FC)
Ketua pasukan Terengganu ini seorang penyerang yang menggerunkan. Pantas, mempunyai kekuatan fizikal, rembatan deras dan penyudah tajam. Penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu dengan 14 gol, 2019 dia pasti mahu membantu sang penyu dengan menambah koleksi golnya biarpun dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’azim (JDT) sebelum ini.
Ifedayo Olusegun (Melaka United)
Lapan jaringan daripada sembilan penampilan bersama Melaka United. Menyertai Melaka United dalam jendela perpindahan kedua Liga Super, penyerang dari Nigeria ini telah berjaya menarik minat Melaka sehingga mereka mengekalkannya untuk musim 2019. Ifedayo mempunyai persamaan seperti Kipre Tchetche dengan larian pantas, kekuatan fizikal dan bisanya di depan gol. Dua kali dia beraksi dalam tempoh masa singkat di Liga Super Malaysia dengan kali pertama bersama Felda United, kali ini pasti dia mahu bermain lebih lama. Siapa tahu berapa banyak gol mampu dijaringkannya dalam satu musim penuh di Liga Super.
Comments
Post a Comment