Gandingan Ryutaro Dan Irfan Boleh Jadi Benteng Utama Kuala Lumpur
Biarpun tewas kepada Selangor 2-3 di Stadium Cheras dalam perlawanan persahabatan pada malam tadi, mungkin ada satu sinar buat ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah selepas melihat aksi anak buahnya. Dia mungkin sudah mendapat gandingan di bahagian pertahanannya.
Kedua-dua pemain begitu tenang beraksi bersama dan berganding baik seakan-akan sudah lama beraksi bersama. Pengalaman beraksi di bahagian tengah membuatkan mereka tenang ketika diasak dan dapat membantu mencipta gerakan dari bawah dengan hantaran kepada pemain tengah. Kedua-dua Irfan dan Ryu juga mempunyai kelebihan fizikal untuk menyaingi penyerang import pihak lawan.
Namun, satu perkara yang mungkin boleh memeningkan kepada Yusri adalah kedua-dua pemain juga mempunyai potensi bagus untuk membentuk gandingan di bahagian tengah bagi membantu Paulo Josue. Ketenangan Ryu dan hantaran Irfan boleh membantu Josue yang boleh lebih menyerang jika dua pemain itu beraksi di bahagian tengah.
Yusri Che Lah mempunyai pilihan pemain pertahanan lain juga seperti Achmad Jufriyanto, Khair Jones dan Hisyamudin Sha’ari. Dia juga masih mempunyai masa untuk membentuk pasukannya. Dia juga pernah berkata bahawa gandingan Ryu dan Irfan ini hanyalah sementara kerana kecederaan yang dialami oleh Jupe dan Khair Jones. Tetapi setakat ini, tidak terkejut jika Kuala Lumpur akan membuka tirai Liga Super dengan gandingan Ryu-Irfan.
Comments
Post a Comment