Logo ‘No Smoking’ Di Jersi Perak TBG Musim 2019
Hasrat tersebut disuarakan oleh Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan ia akan diumumkan dalam satu majlis perlancaran jersi dan pengenalan pemain tidak lama lagi.
“Saya sedang berusaha meletakkan lambang berhenti merokok di jersi pasukan negeri yang juga akan bertanding ke peringkat Asia.
“Kempen merokok ini kita lakukan untuk semua manusia sejagat bukan rakyat negeri Perak sahaja kerana ia perkara yang penting serta baik untuk kesihatan,” katanya seperti dipetik daripada Bernama.
Malah, kempen ini akan turut melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak dan mesej ini akan dibawa semasa majlis perlancaran dimana golongan muda yang hadir menjadi sasaran kempen ini.
Langkah ini juga dilihat dapat meneruskan kesinambungan kerajaan negeri Perak pada tahun 2018 yang mewartakan Stadium Perak sebagai zon larangan merokok. Ini berikutan penonton yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Ini target kita untuk berkempen besar-besaran menggalakkan mereka supaya berhenti merokok dan memujuk rakan-rakan mereka untuk berhenti merokok,” tambahnya.
Ahmad Faizal sempat berkongsi pengalaman beliau selaku perokok tegar suatu masa dahulu berjaya membuang tabiat tersebut atas dorongan ‘orang tersayang’. Malah beliau mendapat kesan positif hasil kejayaan beliau berhenti merokok.
“Saya sendiri seorang perokok tegar untuk berpuluh tahun. Saya berjaya berhenti atas dorongan keluarga dan saya harap semua boleh lakukannya.
“Saya berasa lebih sihat, cergas serta berfikir lebih baik. Saya nak ajak semua rakyat Perak untuk berhenti merokok,” katanya.
Comments
Post a Comment