Kecederaan Mohamed Salah Merisaukan Kem Mesir
Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) edisi ke-21 bakal bermula pada 14 Jun di Rusia dengan menyaksikan Mesir menyertai kejohanan itu buat kali pertama selepas 28 tahun.
Bagaimanapun, perkhabaran kurang gembira menimpa kem Mesir selepas menyaksikan tonggaknya, Mohamed Salah ditimpa masalah kecederaan ba- hu ketika Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine, 27 Mei lalu.
Ramai peminat terutama penyokong Mesir berang dengan tindakan yang dilakukan oleh kapten Real, Sergio Ramos dikatakan ti- dak mengamalkan semangat kesukanan dan sengaja mengasari Salah pada aksi separuh masa pertama itu.
Ketiadaan Salah menyaksikan The Reds gagal menjulang kejuaraan Eropah tersebut sebagaimana Gareth Bale mencuri tumpuan dengan menjaringkan dua gol pada pentas final kejuaraan Eropah tersebut.
Kini, tumpuan dialihkan kepada Salah ekoran status bekas penyerang Chelsea dan AS Roma tersebut masih menjadi tanda tanya sama ada dia sempat menyertai Mesir untuk aksi Piala Dunia 2018 atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Salah berkata, dia yakin dapat kembali bermain bersama Mesir selepas insiden tersebut.
“Kasih sayang dan sokongan peminat telah memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan,” kata penyerang berusia 25 tahun tersebut.
Namun, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan kecederaan Salah benar-benar serius dan tidak menunjukkan reaksi begitu bagus.
Begitupun, Persatuan Bola Sepak Mesir mendedahkan, ujian imbasan telah menunjukkan Salah memiliki kecederaan yang kurang serius dan yakin bahawa pemain bintang mereka itu sempat cergas untuk bermain di Rusia.
Salah yang menjaringkan 44 gol buat kelabnya pada musim lalu, terpaksa dikeluarkan selepas insiden dengan Ramos pada minit ke-26 sebelum digantikan dengan Adam Lallana.
Dalam perkembangan sama, peguam dari Mesir, Bassem Wahba percaya Ramos perlu membayar denda di atas kekasaran terhadap pemenang Kasut Emas Liga Perdana England tersebut.
Jelas Wahba, beliau menuduh Ramos menunjukkan sikap kurang matang dengan sengaja memberikan kekasaran dari sudut fizikal dan mental kepada seluruh rakyat Mesir.
“Ramos sengaja mengasari Salah dan dia seharusnya dihukum kerana tindakannya. Saya telah pun mengemukakan aduan dan saman kepada FIFA.
“Saya membawa kes saman ini bernilai lebih daripada €1 bilion (RM4.65 bilion) berikutan kekasaran Ramos yang mengancam fizikal dan mental Salah serta seluruh rakyat Mesir,” katanya.