Saya Tidak Pernah Menandatangani Piya, Jadi Tak Perlu Bayar Gaji Dia
Belum pun reda kemelut mengenai isu tunggakan gaji lebih tujuh bulan dituntut Badhri ataupun mesra disapa Piya, terbaru Bibi Ramjani mencuri tumpuan apabila menyatakan bahawa dia tidak pernah menandatangani khidmat pemain itu dan ianya berlaku di luar pengetahuannya.
Meskipun tidak dapat difahami dengan jelas apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Bibi Ramjani memandangkan susunan ayatnya yang tunggang-langgang, berikut antara kenyataannya yang tular di laman sosial.
“Sebenarnya Piya ni bukan saya yang tandatangan kontrak, tetapi bila menuntut (gaji) kenapa tidak menuntut dengan mereka yang daftarkan dia. Saya sudah menghalang dari mengambil Piya (tetapi) disebabkan waktu tersebut Mat Yo (Norshahrul Idlan) yang menginginkan Piya bermain, kerana ketika itu Mat Yo bersetuju untuk datang ke Kelantan.
“Saya dah bagitahu Piya untuk tandatangan (kontrak) selepas balik dari Jepun (bersama-sama Matyo). Tetapi Piya seorang sahaja yang tandatangani kontrak itu di KAFA sedangkan saya nak Piya dan Mat Yo bersama-sama tandatangan. Jadi bila menuntut gaji kenapa tuju kepada saya.
Nampaknya Bibi Ramjani tetap berkeras tidak akan membayar tunggakan gaji Piya dengan memberikan alasan-alasan sepertimana yang dinyatakannya itu, dan ia pada hakikatnya menyerlahkan ketidakmatangan seorang presiden di dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Pertamanya, Bibi Ramjani perlu ingat bahawa kontrak ditandantangani seorang pemain adalah bersama majikannya iaitu dalam kes ini, KAFA. Tidak kisahlah siapa yang ada, siapa yang hadir ketika kontrak itu ditandatangani, apabila perjanjian sudah dimeterai, maka kontrak itu sah.
Walaupun dia cuba mengatakan ia berlaku tanpa kerelaannya ia bukan sebab untuk mengatakan kontrak pemain itu tidak sah.
Keduanya, Piya tidak bermain, tidak diturunkan sejak April 2018 bukan kerana dia tidak mahu, tetapi kerana datangnya seorang jurulatih baru yang dibawa oleh Bibi Ramjani iaitu Fajr Ibrahim dan secara tiba-tiba menyisihkannya daripada pasukan dengan alasan tiada dalam perancangan.
Kami difahamkan Piya tidak bersetuju dengan penamatan kontrak secara persetujuan bersama kerana ia tidak menawarkan situasi ‘win-win’ – penamatan kontrak yang hanya menguntungkan sebelah pihak.
Cubaan kedua-dua pihak untuk berunding juga menemui jalan buntu kerana pihak KAFA dikatakan kekal dengan solusi yang mereka mahukan dan oleh kerana itulah Piya dikekalkan bersama pasukan tanpa ditamatkan kontrak, tetapi tidak dibenarkan berlatih bersama rakan sepasukan lain, dipaksa berlatih bersendirian dan kemudiannya disingkirkan terus daripada pasukan.
Namun setelah kontrak berakhir pada November 2018, ianya difahamkan pemain itu langsung tidak menerima gaji sejak April 2018.
Comments
Post a Comment